JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan menggantikan dokumen pengenalan seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan secara percuma kepada mangsa banjir. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pegawai JPN akan membuka kaunter bergerak di kawasan terjejas bagi memastikan proses penggantian dokumen yang hilang atau rosak dapat dilakukan dengan segera selepas banjir surut. "KDN melalui JPN akan menawarkan penggantian dokumen seperti sijil lahir dan kad pengenalan secara percuma kepada mangsa banjir yang kehilangan dokumen tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Banjir ragut nyawa influencer, hanyut dibawa arus deras... Suami selamat berpaut pada kereta "Selesai musim banjir ini, Pegawai JPN akan membuka kaunter dan menggerakkan bas bergerak ke kawasan terjejas banjir untuk memastikan urusan dapat dilakukan dengan segera. "Saya berharap usaha kami akan sedikit sebanyak membantu mangsa-mangsa yang terkesan bagi memudahkan urusan mereka pasca banjir nanti," ciapnya menerusi X pada Ahad. Setakat pukul 9 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 150,782 orang. Angka ini melibatkan 45,195 keluarga yang ditempatkan di 699 PPS di sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Melaka, dan Selangor. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube