suria

Graduan lengkap berjubah konvo di PPS, cuma mampu rai secara online... Ibu dedah dah 2 kali tak hadir majlis graduasi anak

Seorang graduan UPSI menyambut konvokesyen di PPS.

VIDEO menunjukkan seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 'menghadiri' istiadat konvokesyen secara dalam talian membuatkan ramai tersentuh hati.

Menerusi rakaman yang dikongsikan Perlia39 di TikTok, gadis berkenaan menunjukkan suasana ketika dia berada di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) lengkap memakai jubah konvokesyen.

"Mangsa banjir hadir konvo secara online. Ramai ke yang senasib?" tulisnya pada kapsyen video.

Perkongsian itu yang meraih lebih 200,000 jumlah tontonan jelas menunjukkan wajah sayunya ketika menonton siaran langsung majlis konvokesyen menerusi paparan di skrin tablet.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum meninggal bapa bersungguh tanya ‘berapa banyak A’... Dua tahun kemudian anak hadir ke pusara pakai selempang pink

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tak kerja, cuma ada kereta buruk... Anak mahu batal niat bawa mak ayah ke majlis konvo lepas kira kos RM1,500

Graduan berkenaan dilihat ditemani seorang wanita dipercayai ibunya ketika menyaksikan acara penuh istiadat itu berlangsung.

Dia dipercayai terkandas di kediamannya yang tidak dinyatakan lokasi dan tidak dapat hadir ke UPSI selepas rumahnya dinaiki air serta terpaksa dipindahkan sementara ke PPS akibat hujan lebat.

Hantaran itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata sedih mengenangkan nasib menimpa pelajar yang menjadi mangsa banjir ini.

Malah, ibu kepada graduan ini turut meluahkan rasa terkilan kerana sekali lagi tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen anaknya.

Komen netizen di TikTok.

"Umi yang dekat sebelah hadir. Umi terlebih sedih. Dulu si kakak konvo di Jordan, tak boleh pergi. Si adik (konvo) dalam negara pun tak dapat pergi," ujar ibunya.

Susulan insiden ini, ada netizen tampil dengan memberikan idea dan pandangan kepada pihak universiti.

Mereka mencadangkan agar pihak universiti mempertimbangkan untuk mengadakan majlis konvokesyen bagi graduan yang terjejas dengan bencana banjir.

"Mohon pihak universiti buat konvo khusus untuk graduan yang terjejas banjir.

"Ini sekali seumur hidup je. Sedikit sebanyak dapat meredakan kesedihan akibat banjir," netizen memberikan cadangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain