suria

Hospital Bersalin Razif dedah kisah sebenar bayi ‘beku’, dakwa ibu lahirkan anak luar nikah... Diizin urus jenazah sebelum bayar bil

Rakyat Malaysia bersedih selepas tularnya kisah mengenai kematian bayi lelaki itu.

RAKYAT Malaysia dikejutkan dengan kisah seorang bayi lelaki yang jasadnya didakwa disimpan selama dua minggu di dalam peti sejuk beku sebuah hospital swasta di Klang.

Menerusi hantaran yang tular di media sosial, terdapat tuduhan mengatakan jenazah bayi itu didakwa terpaksa disimpan gara-gara ibu bapanya dikatakan tidak mampu membayar kos kelahiran di hospital swasta.

Susulan itu, Hospital Bersalin Razif (HBR) tampil membuat penjelasan bagi membersihkan namanya pada Rabu selepas dihentam kerana tidak mempunyai sifat belas ihsan atas kejadian tersebut.

Menurut kenyataan yang dikelyarkan, HBR menerima kedatangan pesakit berkenaan atas dasar kemanusiaan walaupun tiada sebarang tempahan bagi tujuan kelahiran dibuat selain ibu bayi itu mendakwa ia adalah kandungan sulungnya.

"Pesakit ini, yang mendakwa hamil anak sulung, datang ke HBR dalam keadaan menahan kesakitan. Dia tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilannya dan hanya memantau kehamilannya menggunakan aplikasi di telefon.

"Dia dibawa ke hospital oleh 'suaminya' (kemudiannya dia mengaku tidak berkahwin). Memandangkan dia mengalami sakit untuk bersalin yang kuat, dia dibawa dari kereta ke bilik pemeriksaan menggunakan kerusi roda untuk penilaian segera.

"HBR menerima pesakit tersebut atas dasar kemanusiaan walaupun dia tidak membuat tempahan atau saringan terlebih dahulu," tulis kenyataan itu sambil menambah bayi yang dikandung mengalami sindrom Cyclopia dan meninggal selepas dilahirkan.

Menurut HBR lagi, mereka turut mengeluarkan permit pengebumian bagi membolehkan jenayah bayi berkenaan disemadikan sehari selepas dia dilahirkan.

Tambah HBR, wanita itu juga dibenarkan untuk discaj sehari selepas bersalin, namun dia memaklumkan tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil perubatan.

Kisah mengenai bayi itu tular selepas ia dikongsi oleh Wan Cai di laman sosial.

Kisah mengenai bayi itu tular selepas ia dikongsi oleh Wan Cai di laman sosial.

"Permit pengebumian ditandatangani, dan doktor memaklumkan kepada si 'suami' untuk menguruskan pengebumian pada hari berikutnya. 'Suami' tersebut kemudian meninggalkan hospital dengan alasan perlu ke tempat lain.

"Pesakit berada dalam keadaan baik dan dibenarkan pulang keesokan harinya. Namun pada hari tersebut, dia memaklumkan tidak mampu membayar bil sebanyak RM2,480. Dia kemudiannya diberitahu boleh menguruskan pengebumian dahulu sebelum melunaskan bil.

"Dia kemudian berkata 'suaminya' akan menguruskan pengebumian, jadi HBR menunggu kehadiran 'suami' tersebut untuk mengambil bayi untuk dikebumikan," jelas HBR lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, HBR terus mengingatkan pesakit untuk meneruskan pengebumian, namun si ibu didakwa melengahkan proses itu bagi menunggu kehadira 'suaminya'.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tak mampu bayar bil hospital... Jenazah bayi lahir tak cukup sifat ‘beku’ 2 minggu, terpaksa dilembutkan guna air panas sebelum kebumi

Dalam tempoh itu, HBR mendakwa mereka turut berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan bantuan polis, namun wanita itu meminta agar tidak berbuat demikian.

"Hari demi hari berlalu, HBR terus mengingatkan pesakit untuk menguruskan pengebumian, tetapi dia terus mengatakan 'suami' sedang menguruskan perkara itu. Pesakit dilayan dengan baik, diberi kaunseling, dan makanan percuma.

"Si 'suami' hanya datang melawat pesakit selama beberapa minit sekali dalam dua hingga tiga hari. Usaha untuk berbincang dengannya mengenai pengebumian gagal.

"Pihak pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan bantuan polis bagi menyelesaikan pengebumian, tetapi dia merayu agar polis tidak dilibatkan. Dia terus mengatakan segala keputusan dibuat oleh 'suaminya'.

"HBR cuba mendapatkan maklumat keluarga pesakit, tetapi dia enggan memberikannya kepada sesiapa. Dia mendakwa tinggal di sebuah bilik sewa bersama 'suaminya' dan tidak mempunyai saudara-mara atau rakan terdekat," jelas HBR lagi.

Terdahulu, mStar melaporkan jenazah seorang bayi lelaki terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku selama dua minggu gara-gara ibu bapanya tidak mampu membayar kos kelahiran di sebuah hospital swasta.

Perkara itu tular selepas ia didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai di laman sosial.

Menurut Wan Cai, bayi itu meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan dengan keadaannya tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis.

Menurut hasil carian di Google, Cyclopia adalah keadaan yang terkait dengan kromosom atau gen abnormal dan berkembang secara spontan.

Keadaan itu menyebabkan seorang anak dilahirkan dengan satu mata, tanpa hidung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain