suria

Ibu maut, anak 9 tahun terselamat dalam nahas dua kenderaan

Seorang wanita maut dalam kemalangan jalan raya. -Gambar hiasan

SEORANG wanita maut, manakala anak perempuannya berusia sembilan tahun terselamat dalam nahas jalan raya di Jalan Lintas-Kepayan dekat Kota Kinabalu, pada awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.21 pagi.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati dua kereta terlibat dalam nahas iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, dan sebuah kereta Toyota Camry yang dipandu seorang wanita berusia 46 tahun.

"Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Kereta yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar tiang lampu di jalan.

Sementara itu, dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 28 tahun yang menaiki kenderaan lain terbalik, mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Insiden tersebut masih dalam siasatan.

"Kami menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan," kata Noor Sherriyana.

Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 7.05 pagi. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain