suria

Khalwat: 70 individu dibenar masuk ke tempat hukuman sebat, polis kawal keselamatan

Hukuman sebat akan diadakan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang. -Gambar hiasan

HANYA 70 individu dibenarkan masuk ke ruangan pelaksanaan hukuman sebat pesalah khalwat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

Bukan sekadar itu, mereka juga dilarang membawa masuk sebarang peranti ke ruangan hukuman.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor.

"Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Mereka tidak boleh membawa masuk sebarang alatan komunikasi seperti telefon bimbit, perakam video dan seumpamanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang rumah disebat depan khalayak lepas solat Jumaat... Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Terengganu jadi saksi

ARTIKEL BERKAITAN: Khalwat kali ketiga, bapa 5 anak individu pertama dihukum sebat di khalayak ramai

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dinasihatkan supaya terus beredar keluar dari masjid sebaik selesai menunaikan solat.

"Saya menyeru kepada para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat supaya tidak mencetuskan provokasi kepada petugas-petugas mahupun kepada pesalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Azli berkata, seramai 40 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal keselamatan dan kelancaran proses sepanjang pelaksanaan hukuman itu.

Pada 20 November lalu, seorang tukang rumah dilapor menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain