EMPAT individu maut selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown sempena meraikan tahun baharu 2025 di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada Selasa malam.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Menurut beliau, empat laporan polis diterima pihaknya daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian melibatkan dua lelaki dan dua wanita warga tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat reput ditemukan di Banting... Teman lelaki Yap Xin Yuan ditahan
"Hasil siasatan pihak polis mendapati, keempat-empat si mati telah menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember.
"Post mortem dijalankan pada 1 Januari (Rabu) dan punca kematian masih pending laboratory investigation.
"Pemeriksaan ke atas semua si mati yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun, didapati tiada sebarang kecederaan luaran yang dikesan," menurutnya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat Sjn Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau menghubungi pusat kawalan daerah di talian 03-78627222.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube