suria

Lori hilang kawalan, 3 maut dalam nahas babitkan empat kenderaan

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Rabu mengakibatkan tiga mangsa terkorban. -Foto Ihsan polis

TIGA individu maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM226.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dekat Rembau, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi melibatkan sebuah lori dan tiga kereta itu turut mengakibatkan tujuh mangsa cedera, dengan lima daripadanya parah.

Mangsa yang maut adalah pemandu lori, Mohd Esa Daharin, 73; dan kelindannya, Md Usuf Ali, 44, seorang warga Bangladesh serta penumpang kereta Honda City, Terence Ng Zhi Yang, 21.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi antara 6 maut dalam nahas babit tiga kenderaan di Semporna

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila lori membawa muatan bunga dan tanah yang dalam perjalanan dari Ayer Keroh ke Senawang didakwa hilang kawalan, sebelum melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya dan kemudian terbabas ke kiri jalan.

Tiga kereta, iaitu Honda City, BMW dan Toyota Vios yang datang dari arah belakang gagal mengelak dan merempuh lori berkenaan.

Mohd Esa dan Md Usuf maut serta-merta akibat kecederaan parah di kepala, manakala Terence Ng, seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tiggi (IPT), meninggal dunia di Hospital Rembau.

Kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain