suria

Berita baik! Bantuan STR dibayar bermula esok, manfaat hampir 9 juta penerima

Sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan bagi bayaran STR Fasa 1. -Gambar hiasan

KERAJAAN akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2025 mulai esok (Rabu) dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu jauh melangkaui kadar inflasi negara mencerminkan tekad kerajaan memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.

“Walaupun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan Madani agar peningkatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan STR saban tahun dapat membantu rakyat menggapai kehidupan lebih berdarjat,” katanya dalam kenyataan.

Pembayaran STR bermula esok dibuat susulan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang dilaksanakan pada minggu lalu.

Menurut Kementerian Kewangan, secara keseluruhan, program STR dan Sara pada tahun 2025 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa.

“Bagi STR dan Sara 2025, kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 tahun ini iaitu kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lalu.

“Kadar minimum untuk golongan bujang juga naik kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 20 peratus,” katanya.

Pembayaran STR Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai Rabu kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank mereka.

Ia juga disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Artikel Lain