QSR Brands (M) Holdings Bhd dengan bangganya mengukuhkan sokongan kepada Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS) sempena perasmian Persidangan Diraja mengenai Islam dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Persidangan tersebut disempurnakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, yang juga Penaung Diraja RZS-CASIS.
Baginda menyampaikan titah diraja semasa sesi perasmian acara tersebut dan menyaksikan penyampaian cek oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Nehchal Khanna kepada Naib Canselor UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang; Pengerusi UTM, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang juga Pro-Canselor UTM.
Jamaludin berkata, sumbangan QSR Brands kepada RZS-CASIS mencerminkan komitmen yang kukuh untuk memupuk pertumbuhan intelektual dan pemahaman budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Dedikasi kami terhadap kecemerlangan akademik sejajar dengan usaha berimpak tinggi oleh RZS-CASIS, yang melibatkan penyelidikan ilmiah, promosi ilmu Islam dan penerokaan bagaimana agama dapat diintegrasikan dengan sains dan teknologi di dunia moden," ujarnya.
Untuk rekod, QSR Brands memberikan sumbangan berjumlah RM2 juta untuk menyokong pengembangan penyelidikan akademik, pembangunan ilmiah, dan penerbitan RZS-CASIS yang akan memberi tumpuan kepada pemberdayaan komuniti, pendidikan pandangan dunia Islam serta memperdalamkan pemahaman dan inklusiviti dalam komuniti.
Dalam pada itu, Nehchal Khanna berkata QSR melihat jalinan kerjasama itu sebagai satu peranan penting dalam perkongsian ilmu antara ahli akademik dan sarjana.
“Perkongsian kami dengan RZS-CASIS UTM memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembinaan negara melalui dialog pendidikan yang berimpak tinggi dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan ahli akademik dan sarjana.
"Kami amat berbesar hati untuk memperingati kerjasama kami dan mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong penyelidikan dan perbincangan bermakna yang menegakkan nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan," katanya.