POLIS sedang memburu suspek yang terbabit dalam insiden samun di Hoover Park, Teluk Intan, Perak.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita yang berumur 65 tahun sekitar pukul 8.20 pagi Selasa.
"Menurut laporan mangsa, kira-kira pukul 7.06 pagi pada 28 Januari, ketika dia sedang menggubah kalungan bunga di hadapan rumahnya di Hoover Park, seorang lelaki warga tempatan menghampirinya, kononnya hendak membeli bunga.
"Ketika mangsa sedang menyediakan bunga itu, suspek menarik mangsa dari belakang dan merentap rantai emas yang dipakainya.
"Suspek bergelut dengan mangsa, dia kemudian menolak mangsa jatuh ke atas lantai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher, luka di bahagian tangan, kaki dan pinggul akibat insiden samun itu.
Mangsa kerugian kira-kira RM1,500 dan hanya separuh rantainya yang berjaya dicuri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan. - The Star