SEORANG warga India maut manakala empat lagi cedera selepas menceroboh landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan antara Teluk Pulai dan Klang, Selangor pada Selasa.
Dalam satu kenyataan, KTMB memaklumkan insiden berlaku ketika Tren Komuter No 2110 berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada pukul 6.39 pagi.
Akibat insiden terbabit, tren yang membawa 200 penumpang terpaksa berhenti secara mengejut selepas melanggar penceroboh di Kilometer 34.734.
"Seorang penceroboh dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.
Kejadian itu turut menyebabkan tren berkenaan mengalami kerosakan, mengakibatkan kelewatan lebih 60 minit.
Susulan insiden tersebut, penumpang tren yang terjejas dipindahkan ke Stesen Klang dengan bantuan pegawai Polis Bantuan serta kakitangan KTMB sebelum menaiki bas pengantara ke Stesen Subang Jaya.
"Penumpang yang terkesan akibat kelewatan tren seterusnya turut diberikan kemudahan bas pengantara percuma ke Stesen Subang Jaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," katanya lagi.
Sebuah lokomotif bantuan dihantar untuk menarik tren yang terjejas bagi membolehkan proses pengeluaran mayat dan memastikan perkhidmatan tren dapat disambung seperti biasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha menegaskan bahawa landasan kereta api adalah kawasan larangan.
Tambahnya, tindakan menceroboh boleh dikenakan denda sehingga RM500 di bawah Seksyen 126 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.