suria

Calon SPM antara 3 tokan dadah ditahan polis, nilai rampasan lebih RM500,000

Kesemua suspek direman selama tujuh hari. -Gambar hiasan

TIGA tokan sindiket pengedaran dadah termasuk seorang pelajar sekolah menengah berjaya ditahan di sebuah kediaman sekitar Muar, Johor pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, rampasan pelbagai jenis dadah mencecah nilai RM556,000 itu dilakukan menerusi serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin.

Difahamkan ketiga-tiga suspek yang berusia antara 17 hingga 49 tahun mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu bapa dan dua orang anak, seorang daripadanya merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau jenayah dan narkotik.

Turut ditemukan di dalam kediaman adalah dadah jenis heroin seberat 23,372 gram, syabu seberat 10,200 gram dan pil erimin 5 sebanyak 275 biji.

"Polis turut menyita harta milik kesemua suspek yang bernilai RM56,050.

"Antara harta yang disita termasuk sebuah kereta jenis Toyota Camry, barang kemas serta wang tunai," katanya.

Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu di sekitar kawasan Muar, Johor dan Jasin.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar.

Artikel Lain