TAKTIK licik tiga remaja mencuri wang tabung di Masjid Bandar Pontian, Johor, menggunakan lidi yang disaluti gula-gula getah akhirnya berjaya ditumpaskan.
Dua suspek yang berusia 17 tahun, manakala seorang lagi 19 tahun, ditahan pada pukul 1.40 pagi Isnin oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pontian.
Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, tangkapan dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada Pentadbiran Masjid Bandar Pontian.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja curi tabung masjid dan dimandikan seperti jenazah, muncul kisah lain di sebalik alasan beli ubat datuk
"Polis merampas sebuah beg silang berwarna hitam, wang tunai berjumlah RM550 dan sebatang lidi dihujungnya disaluti dengan gula-gula getah.
"Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka datang dengan berjalan kaki ke masjid pada tengah malam," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sementara itu di laman Facebook, Pejabat Kadi Pontian memuat naik satu hantaran yang mengucapkan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia kerana berjaya menumpaskan kegiatan kecurian di Masjid Bandar Pontian.