suria

Lelaki belasah nenek 73 tahun akhirnya dicekup polis

Seorang wanita warga emas cedera parah dipercayai dipukul individu dikenali mangsa (gambar kecil), dalam kejadian Selasa lalu. -Foto Facebook Anie Rahani

POLIS mengesahkan sudah menahan seorang lelaki yang disyaki menceroboh dan memukul seorang wanita warga emas di Kampung Pasir Tuntong, Kuala Selangor, dalam kejadian pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di tepi jalan sekitar bandar Kuala Selangor pada pukul 7.45 pagi Sabtu.

"Tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Selangor bagi siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Khamis, mStar melaporkan seorang wanita warga emas berusia 73 tahun mengalami kecederaan parah dan terlantar di Hospital Tanjong Karang selepas dipukul oleh individu dikenalinya dalam kejadian pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Gila punya manusia” - Warga emas baru kematian suami parah dibelasah lelaki dikenali

Kisah malang warga emas itu dikongsikan oleh seorang wanita menerusi akaun Facebook miliknya, Anie Rahani, pada Rabu.

Menerusi hantaran berkenaan, dia meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki pelaku yang melarikan diri selepas menyerang mangsa, yang merupakan nenek saudaranya dan menetap di Kampung Pasir Tuntung, Bukit Rotan.

Menurut wanita itu, nenek saudaranya yang baharu kematian suami, mengalami kecederaan pada wajah selain lidah terpaksa dijahit, selepas diserang individu dipercayai jiran mangsa.

Dia turut memuat naik sekeping gambar memaparkan keadaan nenek saudaranya dan juga gambar lelaki dipercayai pelaku.

Artikel Lain