PEMPENGARUH dan usahawan, Kim Seri didakwa gagal menunaikan janji untuk membuat pembayaran semula kepada pelanggannya yang terjejas menjelang 1 Februari.
Menerusi video tular di TikTok, seorang wanita, dipercayai mangsa pakej pelancongan Kim Seri mendakwa dia juga gagal untuk menghubungi pempengaruh itu.
"Assalamualaikum Kim Seri. Salam 1 Februari. Sebab dekat WhatsApp tak boleh bagi salam, satu tick. Dekat Instagram nak bagi salam, tak jumpa nama tu walau dah search.
"Dekat TikTok pun tak boleh. Dah tulis full K-I-M S-E-R-I tapi jumpa (akaun). So harapnya jumpalah video saya. Sepatutnya sebelum 1 Februari," ujar wanita itu.
Perkongsian video berkenaan turut menerima pelbagai maklum balas daripada netizen.
Nama Kim Seri kecoh sejak tahun lalu ekoran dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.
"Kesian betul siapa yang terkena. Bukan senang nak cari duit.
"Dah 3 Februari sis, any update?
"Lapor polis dan pihak yang patut sis. Jangan biar dia lepas," tulis beberapa netizen.
Untuk rekod, mStar pada 18 Disember lalu melaporkan Kim Seri tampil membuat permohonan maaf serta mengakui timbulnya masalah berkaitan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kim Seri mohon maaf, janji buat bayaran balik... Minta pelanggan sabar, tak dapat langsai semua sekali gus
Dalam laporan sama, pempengaruh itu turut membuat permohonan maaf serta mengakui pakej pelancongan yang dikendalikannya bermasalah.
Dia turut memohon pelanggan yang terlibat supaya bersabar dan memahami proses bayaran balik akan mengambil masa.
"Saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekali gus.
"Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025," kata Kim Seri.
Sebelum ini, media melaporkan, seramai 10 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh itu, membuat laporan polis.