POLIS sudah mengenal pasti suspek yang bertindak melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada Sabtu malam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan berkulit cerah dalam lingkungan usia 30-an.
"Polis sedang giat mengesan untuk menangkap suspek yang mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Motif kejadian masih dalam peringkat siasatan," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Suspek berjaya dikenal pasti dengan cepat berdasarkan risikan polis serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Sehingga kini, terdapat tujuh laporan polis berkaitan kes itu termasuklah dua yang dibuat oleh mangsa tembakan dan seorang pemandu kereta Perodua Ativa.
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek tahan kereta, paksa pemandu bawa keluar dari pusat beli-belah... ‘Cleaner’ lelaki cedera ditembak di kaki
Difahamkan, mangsa yang juga pekerja pembersihan pusat beli-belah itu tidak mengenali suspek.
Mangsa cedera di kaki dan punggung akibat terkena beberapa das tembakan oleh suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Hussein berkata berkata suspek melarikan dengan menahan sebuah kereta Ativa dan memaksa pemandunya membawa dia keluar dari kawasan pusat beli-belah itu.
Saksi dipaksa oleh suspek untuk membawanya keluar dan menurunkannya di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di susur keluar Pandamaran.
Pada Sabtu malam, mStar melaporkan pengunjung di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam bertempiaran lari sejurus selepas kedengaran bunyi tembakan di dalam premis berkenaan.