POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai insiden tembakan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebarang spekulasi hanya akan memburukkan lagi keadaan.
"Kami difahamkan orang ramai bimbang berikutan kejadian itu, tetapi kami berharap mereka dapat mengelak daripada membuat spekulasi mengenai kes tersebut," katanya pada Ahad.
Razarudin berkata, tahap keselamatan di pusat membeli-belah dan tempat awam di seluruh negara telah diperketatkan.
"Kami juga sudah mengarahkan anggota polis bantuan dan keselamatan supaya lebih berwaspada terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan.
"Kami juga mengarahkan anggota polis di negeri lain supaya sentiasa berwaspada," katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek tahan kereta, paksa pemandu bawa keluar dari pusat beli-belah... ‘Cleaner’ lelaki cedera ditembak di kaki
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lari bawa anak jerit... tembakan, tembakan! Pengunjung pusat beli-belah di Setia Alam bertempiaran
Dilaporkan, polis Selangor sudah mengenal pasti suspek insiden di pusat beli-belah itu.
Suspek berkenaan, warga tempatan berusia 30-an, mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan berkaitan dadah.
Ketika kejadian, seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai tukang cuci cedera selepas terkena tembakan di bahagian kaki dan punggung.
Insiden tembakan pada Sabtu malam mencetuskan kekecohan di pusat beli-belah berkenaan.
Bagaimanapun, polis menganggap pusat beli-belah itu selamat dan membenarkan ia beroperasi seperti biasa pada Ahad. -The Star