suria

Berang ditegur alihkan barang punca suspek tembak ‘cleaner’ di pusat beli-belah

Mohd Shuhaily mengulas perkembangan insiden tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor.

BERANG ditegur supaya mengalihkan barang-barang yang diletakkan di kawasan kejadian, dipercayai punca seorang pekerja pembersihan ditembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor pada Sabtu malam.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ia merupakan siasatan awal polis berhubung tembakan yang dilepaskan oleh suspek.

Pada masa sama katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa motif sebenar mengenai tindakan suspek belum dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek tahan kereta, paksa pemandu bawa keluar dari pusat beli-belah... ‘Cleaner’ lelaki cedera ditembak di kaki

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden tembakan: Polis nasihat jangan buat spekulasi, keselamatan pusat beli-belah dipertingkat

"Apa yang kita tahu, dia menembak mangsa hanya kerana mangsa menegurnya meletakkan barang di tempat mangsa," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media, di Kuala Lumpur, Ahad.

Mohd Shuhaily berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Tambah beliau, siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan oleh polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman.

"InsyaAllah kita dapat menyelesaikan kes ini dalam masa yang terdekat," katanya.

Artikel Lain