suria

Suspek kes bunuh peniaga COD ditahan... Polis rampas cincin, wang tunai

Suspek kes bunuh peniaga wanita ditahan di Gong Badak. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki dipercayai suspek kes bunuh seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan di Kuantan, ditahan pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek merupakan lelaki berusia 53 tahun, ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada pukul 5.30 pagi.

"Turut dirampas bersama suspek adalah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

"Polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh peniaga COD: Suspek dikenal pasti

Menurut Wan Mohd Zahari, dengan tertangkapnya lelaki itu, pihak polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan peniaga wanita yang berlaku Khamis lalu.

Sementara itu, suspek direman seminggu bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat seorang peniaga makanan wanita berusia 37 tahun di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan.

Difahamkan, mangsa berusia 37 tahun itu menjalankan urus niaga makanan secara COD dengan siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain