suria

Nenek menyamar tetamu, mencuri di rumah kenduri akhirnya ditangkap dalam teksi

Rakaman CCTV mendedahkan modus operandi pencuri.

SELEPAS dua minggu diburu, warga emas yang menyamar sebagai tetamu di majlis perkahwinan sebelum melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di Pasir Mas, Kelantan akhirnya ditahan pada Ahad.

Suspek berusia 61 tahun itu ditangkap pada jam 5.04 petang di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu di dalam sebuah teksi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya melakukan rondaan di sekitar Kota Bharu dan terserempak dengan teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik tiba di Jalan Sri Cemerlang, pasukan polis menahan kenderaan berkenaan sebelum menangkap warga emas wanita terbabit bersama pemandu teksi berusia 62 tahun.

"Semakan lanjut mendapati suspek wanita itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk di Terengganu manakala suspek lelaki yang juga rakannya mempunyai satu rekod jenayah," katanya menerusi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik ‘pencuri’ menyamar jadi tetamu majlis kenduri, cekap ‘rembat’ beg penuh wang tunai

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas pada Isnin untuk perintah tahanan reman.

Sebelum ini polis memburu warga emas wanita yang dikatakan mengambil beg tangan mengandungi wang tunai di majlis perkahwinan.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, wanita bertudung dan memakai baju kurung itu dilihat keluar dari tandas.

Dia kemudian ke ruang tamu dan mengambil beg dipercayai milik saudara mara tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.

Susulan kejadian itu, polis menerima laporan yang dibuat pemilik beg tangan berkenaan pada 4 Februari lalu sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.

Artikel Lain