suria

Suspek bunuh Norshamira gadai gelang emas mangsa, nilai cecah RM30,000

Suspek direman bermula Sabtu hingga 21 Februari.

SUSPEK kes pembunuhan peniaga makanan berusia 37 tahun, Norshamira Zainal, telah menggadaikan gelang emas miliknya di Terengganu, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata gelang yang digadaikan itu dianggarkan bernilai sekitar RM30,000.

Siasatan awal mendapati motif utama pembunuhan adalah samun yang mana suspek mengambil barang kemas sebelum melarikan diri.

"Kami juga merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian, dan beberapa dokumen untuk membantu siasatan," ujarnya.

Namun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti jumlah sebenar barang kemas yang digadaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes bunuh peniaga COD ditahan... Polis rampas cincin, wang tunai

Proses merakam keterangan daripada suspek serta beberapa saksi utama bermula pada Ahad.

"Setelah semua prosedur selesai, kenyataan penuh mengenai kes ini akan diumumkan," ujarnya lagi.

Untuk rekod, suspek yang juga lelaki berusia 53 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada pukul 5.30 pagi, Sabtu,

Majistret Nor Izzati Zakaria kemudiannya membenarkan permohonan reman selama tujuh hari, bermula Sabtu hingga 21 Februari, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat seorang peniaga makanan wanita berusia 37 tahun di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan.

Difahamkan, mangsa menjalankan urus niaga makanan secara COD dengan siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Artikel Lain