suria

Murid 10 tahun kritikal tercekik gula-gula ‘gummy’, ibu saudara mohon doa orang ramai

Seorang murid dalam keadaan kritikal dipercayai tercekik gula-gula 'gummy'.

SEORANG murid Tahun Empat kini dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula 'gummy'.

Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, rebah di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira pukul 2.30 petang Selasa selepas tersedak gula-gula.

Dipercayai gula-gula itu dibeli di sebuah gerai berhampiran kawasan kelas tersebut.

Memetik Harian Metro, ibu saudara mangsa, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata, doktor memaklumkan keadaan mangsa masih tiada perkembangan positif setakat jam 10 pagi tadi.

“Doktor memberitahu, jika tiada perubahan hingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan. Kami hanya mampu berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” katanya.

Guru KAFA tersebut memberitahu, Mohamad Fahmi tersedak sebelum berjalan ke tandas.

Namun, dia rebah dan tidak sedarkan diri, memaksa guru tersebut menghubungi ambulans.

“Pasukan perubatan yang dihubungi menerusi panggilan video meminta guru memeriksa mulutnya, dan gula-gula itu ditemui tersangkut dalam tekaknya. Kami juga menjumpai sebiji lagi gula-gula serupa dalam poket bajunya,” jelas Siti Farhani.

Kisah ini tular di media sosial selepas Siti Farhani berkongsi hantaran memohon doa orang ramai agar keajaiban berlaku untuk anak saudaranya itu.

Artikel Lain