PULAU Ketam yang terkenal dengan suasana tenang dan damai gempar selepas insiden polis menembak mati seorang penjenayah di sebuah hotel pada pagi Selasa lalu.
Namun kekecohan itu tidak lama kerana aktiviti harian penduduk setempat kembali normal seperti biasa sehari selepas kejadian berkenaan.
Tinjauan mStar pada Rabu mendapati aktiviti penduduk setempat serta operasi perniagaan langsung tidak terjejas malah masih dikunjungi para pelancong termasuk dari luar negara.
Boleh dikatakan setiap trip feri mahupun bot laju yang tiba di jeti dengan kekerapan selang satu jam penuh dengan penumpang sama ada pelancong ataupun penduduk tempatan.
Penduduk setempat yang ditemui mengakui terkejut dengan kejadian tersebut namun tetap meneruskan rutin harian seperti biasa biarpun kebimbangan masih tersisa.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Chin berkata, pada hari kejadian dia mendengar bunyi tembakan dan bergegas keluar dari rumah untuk mengetahui apa yang berlaku.
Pelajar sekolah menjalani rutin seperti biasa.
“Walaupun rumah saya lebih kurang satu kilometer dari hotel tersebut, namun masih dengar bunyi tembakan.
“Saya dan beberapa jiran lain keluar rumah sebab tertanya-tanya apa yang berlaku. Tak berapa lama selepas tu baru tahu rupanya ada kes tembak.
“Namun saya lega ia sudah berakhir,” ujar lelaki berusia 40-an itu.
Sementara itu seorang peniaga makanan warga Indonesia dikenali sebagai Watie, 45, turut meluahkan rasa lega berikutan tumpasnya suspek yang dikehendaki pihak polis.
“Selama tiga tahun saya bekerja di sini, situasi pulau ini memang aman saja. Saya hanya tahu pasal kes tersebut menerusi aplikasi TikTok.
“Sudah tentulah kita takut kerana kawasan tempat tinggal ada penjenayah. Tapi lega apabila dah tahu berita terbaharu,” ujar wanita berusia 45 tahun itu.
Dalam pada itu, seorang pelancong yang enggan dikenali mengakui, dia mengetahui kes yang berlaku di Pulau Ketam, namun yakin dengan tahap keselamatan di pulau berkenaan susulan ketangkasan polis yang berjaya menumpaskan suspek.
Kebanyakan pelancong datang ke Pulau Ketam untuk menikmati makanan laut dan membeli hasil laut.
“Ini bukan kali pertama saya datang… boleh dikatakan saya kerap ke sini. Dalam sebulan kadang-kadang dua kali.
“Datang hanya untuk menikmati hidangan laut dan jalan-jalan saja,” katanya.
Seorang peniaga sayur yang juga penduduk asal Pulau Ketam dikenali sebagai Apple, 30-an memaklumkan rutin hariannya tidak terjejas malah dia turut berjualan seperti biasa.
Terdahulu media melaporkan suspek kes tembak di pusat beli-belah Setia Alam pada 8 Februari mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah hotel di Pulau Ketam pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Selangor menyerbu hotel tersebut kira-kira pukul 3 pagi (18 Februari).
Menurutnya, suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau kerana mencuri dan kesalahan berkaitan dadah, dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Dua pucuk pistol bersama peluru turut dirampas di bilik hotel suspek.