SUSPEK kes tembak di pusat beli belah Setia Alam yang ditembak mati oleh polis di sebuah hotel di Pulau Ketam, Selangor hanya mendaftar masuk dengan membawa satu beg plastik.
Menurut seorang kakitangan hotel yang hanya mahu dikenali sebagai Cha, lelaki itu mendaftar masuk pada petang Isnin lalu dan langsung tidak menunjukkan tingkah laku mencurigakan.
“Dia mendaftar masuk pada pukul 5.15 petang dan diuruskan oleh saya. Dia hanya membawa satu beg plastik, tapi saya tak nampak isi di dalamnya.
“Mukanya nampak normal, pakaiannya pula berbeza dengan imej daripada kamera litar tertutup (CCTV) sebuah pusat beli belah yang sudah tersebar.
“Memang tak syak apa-apa sebab dia seperti pengunjung hotel yang biasa saja,” ujarnya ketika ditemui mStar pada Rabu.
Menurut Cha, lelaki berusia 30-an itu membuat tempahan penginapan selama tiga hari selain turut menyewa skuter elektrik yang disediakan di hadapan hotel.
Malah tambah Cha, dia turut melihat individu itu keluar membeli makanan ketika menginap di hotel berkenaan.
Ketika mengimbas kembali insiden yang berlaku pada awal pagi Selasa, Cha berkata dia mendengar bunyi tembakan, namun tidak dapat keluar kerana kawasan hotel sudah dikawal ketat oleh pihak polis.
Suspek turut menyewa skuter elektrik di hadapan hotel.
“Saya tengah tidur di rumah dan tiba-tiba dengar bunyi bising. Tapi saya tak boleh keluar sebab kawasan ini sudah dikepung polis.
“Kemudian baru saya tahu salah seorang tetamu hotel merupakan penjenayah yang diburu polis,” ujar Cha yang menguruskan hotel milik keluarganya.
Di sebalik kekecohan kes tersebut, Cha berkata operasi hotel dua tingkat yang dilengkapi 42 bilik itu tidak terjejas sambil menambah pihaknya tetap menerima tempahan penginapan seperti biasa.
“Orang makin ramai yang buat tempahan. Setakat ini belum ada batalkan tempahan. Lagipun, hanya bilik lokasi kejadian saja yang ditutup untuk tujuan siasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cha meluahkan rasa lega berikutan tertangkapnya penjenayah berkenaan.
“Lega sebab selama saya membesar dan sejak kewujudan Pulau Ketam, kejadian ini adalah yang pertama dalam sejarah pulau ini.
“Saya sebagai penduduk lega sebab kita tak tahu apa lagi dia boleh buat, syabas dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujar Cha lagi.
Pada Selasa, seorang lelaki mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah hotel di Pulau Ketam.
Suspek sebelum ini menjadi buruan selepas dia melepaskan beberapa das tembakan di sebuah pusat belah di Setia Alam pada 8 Februari lalu.