TARIKH 28 Februari ditetapkan untuk melihat anak bulan Ramadan bagi mengisytiharkan hari permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia, pada tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Ia memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja bersetuju dengan cara menetapkan tarikh permulaan itu adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Jumaat, 28 Februari 2025 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah," menurut kenyataan.
Tambah kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan pada petang hari berkenaan di 29 lokasi di seluruh negara.
Lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor, dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.
Selain itu, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Ini termasuk Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Antara lokasi lain ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu; serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.
Selan itu, turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis; Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; serta Menara Kuantan 188.