WARGA emas yang menyamar sebagai tetamu dalam kes curi beg tangan mengandungi wang tunai di majlis perkahwinan di Pasir Mas, Kelantan ditahan sekali lagi untuk siasatan berhubung laporan yang diterima di Tumpat.
Wanita berusia 61 tahun itu ditahan pada Khamis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sebaik tamat tahanan reman selama empat hari sebelum dibawa ke IPD Tumpat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, seorang lelaki berusia 60-an dipercayai suami wanita berkenaan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kes itu.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian beg tangan yang mengandungi wang tunai RM3,000 di Kampung Periok, Chabang Empat pada 22 Februari tahun lalu.
“Dalam laporan yang dibuat, pengadu yang juga seorang lelaki berusia 60 tahun mendakwa seorang wanita berpura-pura menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya sebelum menceroboh memasuki bilik tidurnya.
“Wanita terbabit dipercayai mencuri beg tangan milik isteri pengadu yang mengandungi wang tunai berjumlah RM3,000 sebelum beredar meninggalkan kenduri,” katanya pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Nenek menyamar tetamu, mencuri di rumah kenduri akhirnya ditangkap dalam teksi
ARTIKEL BERKAITAN: Makcik ‘pencuri’ menyamar jadi tetamu majlis kenduri, cekap ‘rembat’ beg penuh wang tunai
Mohd Khairi berkata, pihaknya melihat modus operandi yang dilakukan adalah sama seperti kes yang berlaku di Pasir Mas sebelum terus membuat penahanan semula wanita terbabit sebaik selesai remannya di IPD Pasir Mas semalam.
Menurutnya lagi, wanita itu direman selama empat hari sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan manakala suaminya pula direman selama dua hari.
“Kami menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mejar Norhafeza Jusoh di talian 097257222,” katanya.
Sebelum ini polis memburu warga emas wanita yang dikatakan mengambil beg tangan mengandungi wang tunai di majlis perkahwinan.
Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, wanita bertudung dan memakai baju kurung itu dilihat keluar dari tandas.
Dia kemudian ke ruang tamu dan mengambil beg dipercayai milik saudara mara tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.
Susulan kejadian itu, polis menerima laporan yang dibuat pemilik beg tangan berkenaan pada 4 Februari lalu sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.