SUASANA pilu menyelubungi pengebumian jenazah murid berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal, pada Jumaat.
Diiringi hujan renyai, jenazah Allayarham Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai dekat Penaga, di Kepala Batas, kira-kira pukul 3.20 petang.
Kira-kira 150 jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sekolah Allahyarham hadir mengiringi jenazah dari rumah neneknya hingga ke masjid.
Turut mengiringi jenazah adalah bapanya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, ibunya, Nuraini Mohamad Isa dan adiknya, Nufa Fakhira Mohammad Fakhruddin serta ibu saudara, Siti Farhani Mohamad Fikri.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid 10 tahun tercekik gula-gula ‘gummy’ meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Murid 10 tahun kritikal tercekik gula-gula ‘gummy’, ibu saudara mohon doa orang ramai
Sebelum itu, jenazah Mohamad Fahmi tiba dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang kemudian dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai di Kepala Batas sebelum dibawa ke masjid selepas solat Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan Mohamad Fahmi kritikal selepas rebah dipercayai tercekik gula-gula di Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira 2.30 petang Selasa.
Mohamad Fahmi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul kira-kira 11 malam Khamis.