MALANG tak berbau, seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kereta yang berhenti di lorong kanan untuk membantu mangsa kemalangan di Kilometer 11.1, Jalan Permas–Pasir Gudang di Johor, tengah malam Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, mangsa berusia 19 tahun melanggar bahagian belakang sebuah kereta dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam.
"Seorang pemandu kereta berusia 27 tahun berhenti di lorong kanan untuk memberikan bantuan kepada dua penunggang motosikal lain yang terbabit kemalangan di lorong tersebut.
"Dia memberhentikan kereta dengan menghidupkan lampu kecemasan sebelum keluar menghulurkan bantuan.
"Selang kira-kira lima minit, motosikal yang ditunggang mangsa merempuh bahagian belakang kereta itu," katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Akibat pelanggaran itu, katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.