suria

Momen manis ibu OKU rai anak cemerlang di pentas konvo, komunikasi bahasa isyarat buat ramai terharu

Momen manis ibu dan anak di pentas konvokesyen bersama Presiden LUC, Profesor Dr Amiya Bhaumik (kiri).

DI sebalik keterujaan seorang graduan meraikan kejayaan tamat pengajian, turut berada di sisinya di atas pentas konvokesyen adalah ibunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Momen manis pada Selasa, melibatkan dua beranak ini membuatkan mereka yang berada di Dewan konvokesyen Lincoln University College (LUC) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor ini sebak dan terharu.

Hanya berkomunikasi dengan si anak menggunakan bahasa isyarat, senyuman lebar Sia Mee Chong yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan ini jelas menunjukkan betapa dia bangga melihat anaknya berjaya dalam pengajian.

Keceriaan wajah seorang ibu menyaksikan anak lelaki menamatkan pengajian.

Bercakap kepada mStar, graduan berkenaan, Teoh Chee Chuan berkata, dia menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda Sains Komputer dalam Teknologi Rangkaian dan Keselamatan Siber dan sebelum itu mengikuti Diploma Sains Komputer, kedua-duanya di LUC di Petaling Jaya, Selangor.

"Pihak pengurusan Lincoln memberikan saya biasiswa untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master). Ketika itu, saya dan ibu dijemput bersama untuk naik ke pentas.

"Ibu saya OKU pekak dan bisu. Di pentas, memang jelas ibu sangat gembira. Saya semestinya sangat gembira apabila mendapat tahu menerima biasiswa untuk menyambung pengajian," katanya ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangan pakai selipar, ramai sayu tengok semangat murid OKU ke sekolah! Ibu tak kisah apa kata orang, mahu anak berdikari

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan OKU jaga 3 beradik yatim macam anak sendiri, azam beri ilmu secukupnya walau bergaji kecil 

Pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu, ibunya cekal menjaganya dan tiga adik sejak mereka kecil tetapi menanggung tanggungjawab lebih berat sejak bapanya meninggal dunia akibat kemalangan pada 2023.

"Ibu saya bekerja sambilan di ladang kelapa sawit. Kerjanya kutip buah sawit.

"Dia sangat sibuk dan bekerja keras. Tapi pada masa sama, dia amat menyokong saya dan adik-adik untuk mengutamakan pendidikan," katanya sambil menambah pendapatan ibunya adalah sekitar RM800 sebulan.

Mee Chong yang merupakan OKU pendengaran dan pertuturan mencari rezeki dengan mengutip buah sawit. 

Chee Chuan berkata, dia merupakan anak sulung dan adik bongsunya baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berasal dari Sitiawan, Perak, dia menyifatkan ibunya yang berusia 55 tahun itu sangat cekal dan rajin bekerja selain peramah.

"Dia mudah mesra dan membuat kawan. Dia sentiasa beritahu supaya saya buat baik dengan kawan.

"Mungkin saya bukan jenis yang suka bercakap. Jika ada orang lain berbual dengan saya... saya lebih selesa mendengar. Ibu mahu saya jadi peramah," ujarnya.

Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran, dia yang mesra disapa Teoh berkata, status OKU bukan halangan untuk ibunya memberikan sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak.

Chee Chuan (dua, kiri) diberikan biasiswa untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana.

Malah, ibunya menjadi sumber kekuatan yang membantu membentuk keperibadian dan kejayaan Teoh pada hari ini.

"Ibu saya sentiasa berpesan supaya belajar rajin-rajin, belajar dengan kawan-kawan dan mereka yang lebih berpengalaman untuk berjaya.

"Matlamat saya adalah untuk memantapkan lagi kemahiran dan membina hubungan dengan rakan sebaya dan mentor," katanya sambil menyifatan kecekalan dan kasih sayang seorang ibu tidak ternilai harganya.

Sementara itu, Presiden LUC, Profesor Dr Amiya Bhaumik berkata Teoh menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana setelah pihak universiti menyedari potensi besar dan dedikasi akademiknya.

Tawaran biasiswa ini sekali gus menunjukkan bahawa keupayaan dan bakat seseorang tidak seharusnya terhalang oleh kekangan kewangan.

Artikel Lain