suria

Nenek mencuri di rumah kenduri hampir pengsan dihukum penjara 24 bulan, denda RM3,000

Tuan Maimun (tengah) dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan RM3,000. -Foto Buletin TV3

SEORANG warga emas hampir pengsan selepas dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM3,000  di Mahkamah Majistret Pasir Mas, Kelantan pada Selasa.

Susulan itu, sidang mahkamah terpaksa ditangguhkan selama 10 minit bagi memberi ruang kepada penjual kuih itu kembali tenang.

Terdahulu, tertuduh, Tuan Maimun Che Tuan, 61, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi atas pertuduhan mencuri dalam bangunan hingga mangsa kerugian RM2,500 pada 1 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Tuan Maimun didakwa mencuri dalam bangunan iaitu wang RM2,500 milik Norhayati Mohd Noor di Kampung Tasek Berangan kira-kira pukul 12.42 tengah hari pada 1 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dan didenda atau sebat.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek menyamar tetamu ditahan lagi, kes curi di rumah kenduri di Tumpat

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek menyamar tetamu, mencuri di rumah kenduri akhirnya ditangkap dalam teksi

Dalam pertuduhan itu, Tuan Maimun sebelum ini mempunyai dua rekod sabitan lampau di bawah seksyen 380 kanun sama iaitu di Bachok dan Besut, Terengganu serta sudah menjalani hukuman penjara.

Mengikut fakta kes, mangsa menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya jam 11.30 pagi pada 1 Februari lalu dan meletakkan beg tangan di atas almari bahagian dapur.

Namun, apabila mahu pulang, mangsa mendapati beg tangannya yang mengandungi wang RM2,500 hilang.

Selepas memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) didapati seorang wanita iaitu tertuduh mengambil beg tangan yang diletakkan di atas almari.

Tertuduh mengambil wang RM2,500 dan meninggalkan beg tangan di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas di dapur.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas dan tertuduh ditangkap kira-kira 2.35 petang pada 16 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaaan (YBGK), Nur Amira Mat.

Nur Amira memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kepada wanita itu kerana dia seorang warga emas dan mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol dan masalah usus.

Walau bagaimanapun, Syazalia memohon hukuman berat kerana tertuduh mencuri harta milik mangsa sebanyak RM2,500.

“Tertuduh juga mempunyai rekod kesalahan lampau dan tidak insaf, selain mengambil kira hukuman untuk pengajaran dan kepentingan awam,” katanya.

Artikel Lain

Zaleha Hamid meninggal dunia