suria

Guru lelaki disiasat, didakwa jalin hubungan istimewa dengan murid Tahun Enam

Ibu bapa disarankan untuk kerap memantau penggunaan telefon bimbit anak masing-masing. -Gambar hiasan

SEORANG guru lelaki berusia 30-an disiasat kerana didakwa menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang murid perempuan tahun enam di sebuah sekolah kebangsaan dekat Dengkil, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, polis menerima laporan yang dibuat bapa murid berkenaan pada Rabu lalu, mendakwa anaknya sering dihubungi guru terbabit.

Norhizam berkata, kejadian itu terbongkar apabila bapa mangsa memeriksa telefon bimbit anaknya dan mendapati terdapat beberapa mesej daripada guru terbabit yang tidak menampakkan hubungan antara seorang guru dengan murid, namun dinafikan anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lupa ‘log out’ TikTok asbab hubungan terbongkar! Cikgu perempuan isteri orang hanyut bercinta dengan budak sekolah

Katanya, polis sudah memanggil guru berkenaan untuk dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan.

"Murid berkenaan juga sudah dirujuk ke hospital bagi membuat pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017(AKTA 792).

"Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita atau maklumat tidak benar berkaitan kes ini," katanya lagi.

Artikel Lain