SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut kenyataan agensi tersebut pada Ahad, bekas perdana menteri itu juga berkemungkinan akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya, selepas hadir untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu.
"Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
"Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan 4 pegawai ada kaitan dengan Ismail Sabri
Tambahnya, hasil risikan serta siasatan lanjut terhadap empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri tersebut yang ditahan sebelum ini, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai 'safehouse'.
"Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
"Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
"SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara," menurutnya lagi.