SEBUAH pasar raya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan bertukar kecoh apabila berlaku satu rompakan melibatkan sekumpulan individu, pada Isnin malam.
Insiden tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim.
Beliau berkata, kejadian rompakan berkumpulan yang berlaku kira-kira pukul 8.36 malam itu disyaki menggunakan senjata api dalam sebuah pasar raya.
"Suspek disyaki seramai tiga lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan, yang mana dua suspek masuk ke dalam premis, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.
"Salah seorang suspek disyaki membawa senjata semasa kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Abdul Malik memberitahu, polis menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 8.45 malam menerusi panggilan melalui MERS 999 daripada seorang pemanggil wanita.
Tambah beliau, siasatan juga mendapati tiada kecederaan dan jumlah kerugian masih dalam penilaian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai ditalian 06-7904222," katanya.
Terdahulu, dua rakaman video kejadian itu tular di media sosial, dengan salah satu daripadanya menunjukkan dua lelaki bertopeng dan memakai sarung tangan mengambil barangan kemas dari kotak pameran.