MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menolak permohonan untuk membatalkan tuduhan pengabaian terhadap ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang mendakwa tindakan merekaboleh mendatangkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak autistik itu, dua tahun lalu.
Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu pada Selasa, selepas menolak permohonan yang difailkan oleh Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, lapor Sinar Harian.
"Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh tidak cacat, maka permohonan notis ini ditolak," katanya.
Susulan itu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan dijalankan seperti yang dijadualkan pada 11 Mac.
ARTIKEL BERKAITAN: Riak wajah tak risau… Saksi cerita tentang air muka Ismanira ketika lapor kehilangan Zayn Rayyan
ARTIKEL BERKAITAN: Kosong, tiada reaksi... Saksi maklum keadaan ibu Zayn Rayyan ketika dirakam percakapan
Pada 13 Jun 2024, pasangan berusia 30 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersama mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal semasa berada dalam jagaan mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai dari pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Selangor, pada pukul 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum dijumpai terbaring, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pada 21 Januari, pasangan itu memfailkan notis permohonan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam untuk membatalkan tuduhan atas alasan bahawa tuduhan tersebut tidak menunjukkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 akta tersebut.
Mereka juga memohon untuk dibebaskan dan dilepaskan dengan serta-merta.