SEORANG penunggang motosikal berusia 20 tahun maut dalam kemalangan membabitkan kereta di Kilometer (KM) 11.5 jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Smart Pandan, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.31 pagi apabila sebuah kereta yang dipandu oleh seorang warga asing berusia 27 tahun dari Pasar Borong Pandan sedang menghala ke Taman Johor Jaya.
"Apabila kereta tersebut mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri untuk membelok ke simpang kiri, ia telah bergesel dengan sebuah motosikal yang sedang bergerak di lorong paling kiri," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak dan terjatuh berdekatan dengan longkang. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu warga asing itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Semakan mendapati pemandu tiada rekod jenayah lampau jenayah atau dadah sebelum ini, serta memandu tanpa pengaruh dadah atau alkohol semasa kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya atau cuai.