suria

Dua beranak dirempuh ketika dalam perjalanan berbuka di masjid… Bapa meninggal di tempat kejadian, anak parah

Dua beranak itu dilanggar oleh sebuah kereta dipandu secara laju.

SEORANG bapa maut manakala anaknya cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Dato Kayaman, Perlis, Jumaat.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebuah kereta jenis Honda Civic dilihat bergerak dalam kelajuan tinggi sebelum dipercayai hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang motosikal yang dinaiki mangsa.

Akibat perlanggaran itu, Rahimi Mat Rejab, 49, meninggal dunia di tempat kejadian sekitar pukul 7.30 petang, manakala anaknya, Umar Haziq, 16, mengalami kecederaan parah. 

Dua beranak itu dikatakan dalam perjalanan ke sebuah masjid di kawasan Padang Lati, Beseri untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Sarih Salleh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang melalui Jalan Tok Kayaman-Jejawi menuju ke Beseri. 

Memetik laporan Berita Harian, ketika tiba di simpang untuk membelok ke kanan, motosikal dinaiki bekas komando tentera  dan anak lelakinya itu dirempuh dari belakang oleh kereta yang dipandu laju.

Selain Umar Haziq, pemandu kereta turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Mayat Rahimi dihantar ke Jabatan Forensik HTF untuk proses bedah siasat.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain