KOMITED terhadap kebajikan rakan pemandu dan rakan penghantarnya, Grab Malaysia mengumumkan pembaharuan penting menerusi program GrabBenefits 2.0 melibatkan pelaburan lebih RM10 juta.
Mula dilancarkan pada 2017, program ini dipertingkatkan dan kini berkembang daripada tiga kepada hingga lima tonggak bagi mewujudkan sistem sokongan yang lebih holistik dan bersepadu.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, GrabBenefits 2.0 adalah program yang bertujuan memastikan kebajikan rakan pemandu dan rakan penghantar ketika mereka bekerja untuk menjana pendapatan di Grab.
"Perubahan (pembaharuan) ini bertujuan untuk menggabungkan semua inisiatif di bawah satu pengurusan.
"Kami akan melabur lebih daripada RM10 juta untuk program tersebut pada tahun ini," katanya ketika melancarkan program GrabBenefits 2.0, pada Rabu lalu.
Tambahnya, faedah yang dipertingkatkan ini dirangka berdasarkan maklum balas yang dikumpulkan daripada rakan pemandu dan rakan penghantar Grab.
Menurut beliau, program GrabBenefits kini secara strategik mengintegrasikan penyelesaian kewangan sedia ada dan inisiatif komuniti, menunjukkan dedikasi Grab dalam menyokong rakannya lebih daripada sekadar menjana pendapatan.
Lima tonggak Grab Benefits 2.0 merangkumi lima tonggak iaitu:
1) Insurans, Takaful & Perlindungan Sosial
- Perlindungan di dalam dan di luar jalan raya untuk semua rakan-pemandu dan rakan-penghantar, PERKESO, fasilitasi sumbangan Zakat, Bantuan Banjir
2) Tawaran harian
- Baucar tunai, penyelenggaraan kenderaan pada harga diskaun dan tawaran gaya hidup, meringankan beban perbelanjaan harian.
3) Akademi
- Latihan keselamatan, kursus peningkatan/latihan semula kemahiran dan biasiswa, program literasi kewangan
4) Penyelesaian Kewangan Gig
- Penyelesaian pembayaran fleksibel, penyelesaian kewangan berpatutan dan fleksibel serta pembiayaan Umrah.
5) Komuniti
- Pengubahsuaian Grab Driver Centres (GDC) kepada hab komuniti, membina dan menyokong komuniti (Rakan Wanita dan OKU), penglibatan di lapangan Rakan Grab Rover, acara program untuk rakan
Inisiatif utama 2025:
1) Kesinambungan fasilitasi dan penajaan separa PERKESO SPS Gig.
2) Peluang peningkatan kemahiran melalui kerjasama dengan badan kerajaan dan institusi pendidikan.
3) Pengubahan Grab Driver Centres untuk menjadi hab latihan dan komuniti.
4) Sokongan khusus untuk Rakan Grab wanita dan OKU.
Perhimpunan pemandu dan rakan kongsi penghantaran wanita Grab di acara #SisBoleh yang diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025 bagi meraikan kekentalan dan sumbangan mereka kepada ekonomi gig.
Pengumuman GrabBenefits 2.0 diadakan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, di mana lebih 120 rakan pemandu dan rakan penghantar Grab wanita menikmati rundingan kecergasan dan kesejahteraan wanita secara percuma daripada beberapa rakan korporat Grab seperti Curves, Audiolab, dan Joliewen.
Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Noraini turut memuji Grab Malaysia di atas usaha menjadikan platform mereka lebih inklusif untuk wanita.
"Grab terus meningkatkan sokongannya dengan memperkukuh langkah keselamatan, memupuk komuniti yang menyokong, dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita berkembang maju dalam ekonomi gig.
"Saya juga gembira melihat pelaburan berterusan Grab dalam GrabBenefits untuk semua Rakan Grab, mengembangkannya lagi dengan tonggak baharu untuk memberikan sokongan yang lebih holistik.
"Komitmen berterusan ini menetapkan contoh yang kukuh bagaimana platform boleh memainkan peranan dalam memajukan keterangkuman," ujarnya.
Pelancaran #SisBoleh diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah).
Perkasa wanita menerusi #SisBoleh
Sementara itu, program #SisBoleh oleh Grab Malaysia mencapai kejayaan yang ketara dengan peningkatan 70 peratus dalam Rakan Grab wanita yang menyertai platform secara aktif, sejak pelancarannya pada Mac 2023.
Ini sekali gus menunjukkan keberkesanan program berkenaan dalam tonggak utamanya iaitu Keselamatan, Penyertaan dan Latihan, dan Komuniti, yang secara langsung mencerminkan komitmen kukuh Grab terhadap kesaksamaan gender dan pemerkasaan ekonomi wanita.
Adelene berkata, peningkatan keselamatan popular seperti ciri 'Women Passengers Preferred BETA' dan Audio Protect yang mencatat kadar penyertaan 70 peratus diterima dengan baik.
Bukan sekadar itu, penyediaan program latihan khusus yang memberi tumpuan kepada literasi kewangan dan pertahanan diri telah memberikan sokongan nyata kepada Rakan Grab wanita, serta menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat dan teguh.
"Dengan perkembangan industri terkini, ini adalah masa yang tepat untuk kami memperbaharui program bagi memastikan faedah yang ditawarkan kepada komuniti Rakan Grab kami adalah bermakna dan relevan.
"Kami berharap faedah yang dipertingkatkan ini akan menawarkan pakej holistik untuk meliputi keperluan segera dan jangka panjang mereka," ujar Adelene.
Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai GrabBenefits, sila klik DI SINI.