POLIS mendapat petunjuk baru berhubung kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin selepas ibu kepada kanak-kanak autistik itu tampil membuat laporan polis susulan menerima satu pautan video menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan itu dibuat oleh Ismanira Abdul Manaf di Balai Polis Kampung Baru Subang pada 2.43 petang, Ahad lalu.
Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima satu pautan link video TikTok melalui aplikasi WhatsApp yang berdurasi kira-kira seminit pada 6 Mac lalu.
"Dalam pautan berkenaan terdapat rakaman video menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anak iaitu arwah Zayn Rayyan dan Mateen (adik Zayn) menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
"Pengadu merasakan individu tidak dikenali itu merakam video berkenaan dari kawasan blok Apartment Idaman yang berhadapan dengan Blok R serta rakaman dibuat daripada ketinggian yang menunjukkan perakam berkemungkinan adalah penghuni di salah satu tingkat atas blok berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan ibu bapa Zayn Rayyan batal tuduhan abai anak
Ujar beliau, pengadu tampil membuat laporan itu kerana merasakan bahawa keselamatan dirinya dan keluarga berada dalam keadaan terancam.
"Pengadu juga percaya ini bukan satu kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman itu dibuat, anaknya Zayn Rayyan sudah ditemui meninggal dunia dengan jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi video dirakam," katanya.
Tambah Mohd Hafiz, siasatan terhadap kes berkenaan masih berjalan dan pihak polis memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.
Untuk rekod, pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Selangor, pada pukul 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang pada 5 Disember, sebelum dijumpai terbaring, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.