suria

Tiga geng pecah rumah silap langkah serang polis dengan parang, akhirnya tumbang ditembak mati

Tiga penjenayah tumpas selepas ditembak berhampiran tangki air Desa Vista.

TIGA perompak warga asing maut ditembak selepas menyerang anggota polis dalam satu kejadian di kawasan hutan berhampiran Desa Vista, Sepang di Negeri Sembilan, awal pagi Jumaat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku selepas pihak polis dikerahkan ke lokasi susulan laporan kes pecah rumah kira-kira pukul 3 pagi.

"Pemilik rumah menghubungi polis selepas sistem penggera rumahnya berbunyi. Pegawai JSJ kemudian dihantar untuk mengesan suspek.

"Pihak polis berjaya mengepung mereka di kawasan hutan berhampiran sebuah tangki air," katanya kepada media.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 35 hingga 40 tahun bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang sebelum mereka ditembak.

Siasatan awal mendapati kumpulan suspek ini aktif melakukan jenayah pecah rumah dan rompakan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, dengan kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.

Fadil (tengah) menjelaskan penjenayah mempunyai 17 rekod jenayah sebelum ini.

"Mereka juga bertindak ganas dengan mencederakan mangsa ketika melakukan jenayah, termasuk satu kes di Sungai Buloh di mana seorang mangsa dilibas dengan parang.

"Hasil semakan lanjut mendapati suspek bertanggungjawab dalam sekurang-kurangnya 17 kes sejak awal tahun lalu, termasuk tiga kes semasa bulan Ramadan.

"Warga asing itu dipercayai akan pulang ke negara asal selepas melakukan jenayah dan kembali semula ke Malaysia untuk meneruskan kegiatan mereka," katanya.

Mayat kesemua suspek dihantar ke Hospital Serdang, Selangor untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, polis kini giat mengesan dua lagi individu yang dipercayai anggota kumpulan sama. -The Star

Artikel Lain