SELEPAS kira-kira enam jam memberi keterangan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, pada petang Jumaat.
Ini merupakan hari kedua berturut-turut beliau hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Beliau dijangka akan menyambung memberi keterangan kepada SPRM pada Isnin(17 Mac) ini.
Ismail Sabri pada Khamis hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM kira-kira 9.45 pagi dan hanya beredar pada 3.15 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri tiba di ibu pejabat SPRM, sempat lambai petugas media
Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berikutan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam di beberapa premis yang dipercayai sebagai 'safehouse' hasil risikan terhadap empat pegawainya.
Wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa itu disita bersama 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta.
Selain itu, 13 akaun bank yang mengandungi lebih RM2 juta telah dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Siasatan tertumpu kepada sumber pembiayaan dan perbelanjaan berkaitan aktiviti promosi dan publisiti sepanjang tempoh pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri. -The Star