SEORANG lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas memukul pelajar sekolah menengah ekoran perselisihan faham dalam kejadian pada petang Jumaat di Saujana Impian, Kajang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mangsa yang berusia 17 tahun tampil membuat laporan pada pukul 9.24 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan selisih faham antara kedua mereka. Mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
"Pemeriksaan juga mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan saman trafik," katanya dalam kenyataan Jumaat malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Lagi video pukul budak tersebar... Caprice kongsi aksi individu mirip pelaku kes tumbuk pelajar sampai patah tulang hidung
Menurutnya, suspek berusia 39 yang merupakan penasihat agensi pelancongan ditahan pada pukul 9.50 malam.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu video memaparkan pelajar berkenaan dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian hidung gara-gara didakwa ditumbuk oleh seorang pemandu kerana berselisih faham ketika di atas jalan raya.
Melalui hantaran yang dibuat oleh seorang pelayar Facebook, insiden tersebut berlaku selepas solat Jumaat.