suria

Kes pengerusi pukul pelajar sampai berdarah tak jejas operasi surau, AJK minta kawal emosi - “Jangan jatuh hukum dulu”

Seorang pengerusi surau direman sehari bagi membantu siasatan.

SUSULAN kes seorang pelajar sekolah menengah dipukul hingga patah tulang hidung dalam insiden pada Jumaat, orang ramai mula menjejaki identiti pelaku menerusi media sosial.

Apa yang mengejutkan ialah individu berusia 39 tahun yang berkelakuan ganas itu merupakan pengerusi sebuah surau di Kajang, Selangor.

Lantaran itu platform media sosial surau berkenaan dibanjiri komen-komen netizen yang mengecam perlakuan individu terbabit kerana tidak mencerminkan kedudukannya dalam masyarakat.

Ketika dihubungi mStar, Timbalan Pengerusi Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni, Kajang, Ismail Ali berkata, kontroversi berkenaan tidak menjejaskan operasi surau.

"Saya tahu mengenai isu yang berlaku (membabitkan pengerusi). Surau tetap beroperasi seperti biasa, jemaah boleh datang menunaikan solat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi surau direman sehari kes cederakan pelajar sampai patah tulang hidung

ARTIKEL BERKAITAN: Sampai patah tulang hidung! Pelajar berlumuran darah ditumbuk lelaki berjubah putih

Ismail bagaimanapun memberitahu, satu mesyuarat melibatkan ahli jawatankuasa surau (AJK) akan dijalankan berhubung insiden yang berlaku.

"Kami akan adakan mesyuarat untuk membincangkan hal berkaitan. Ini termasuk piagam peranan pengerusi.

"Kita kena tengok peraturan sedia ada. Kita belum tahu apa keputusan kerana kemungkinan menerima surat daripada Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) atau Mais (Majlis Agama Islam Selangor)," ujarnya kepada mStar.

Seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan dalam insiden itu.

Bagaimanapun menurut Ismail, pihaknya belum menetapkan bila mesyuarat berkenaan akan diadakan.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak menunggu siasatan dijalankan kerana pelaku belum dibuktikan bersalah.

"Mengikut undang-undang, everyone is innocent until proven guilty (seseorang itu tidak dihukumkan bersalah sehingga terbukti dia bersalah).

"Jadi, kita sebagai orang awam jangan menjatuhkan hukum atau mencerca sesiapapun dalam kejadian ini," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya mengawal emosi dan jangan mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.

"Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mungkin ada provokasi atau pemanduan yang membahayakan.

"Sama-sama kita tunggu siasatan polis dan adalah lebih baik mengawal emosi," katanya lagi.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang pelajar sekolah menengah dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian hidung gara-gara didakwa ditumbuk seorang pemandu kerana berselisih faham ketika di jalan raya.

Susulan itu, suspek ditahan pada Jumaat malam dan kemudian direman sehari pada Sabtu untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

 

Artikel Lain