KEHILANGAN seorang lelaki sejak Khamis lalu berakhir dengan penemuan tragis apabila mayatnya ditemukan di dalam longkang di Jalan Kampar menghala ke Tapah, Perak, awal pagi Ahad.
Mangsa, Izrul Husin, 42, ditemukan tersangkut bersama motosikal jenis SYM (Sanyang Motor) di dalam longkang sedalam 1.2 meter, berhadapan sebuah kawasan perkuburan.
Menurut rakan mangsa, kehilangan Izrul disedari apabila dia tidak pulang ke rumah sejak tiga hari lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 1.25 pagi.
Susulan itu, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dikerahkan ke lokasi.
“Mangsa ditemukan bersama motosikalnya di dalam longkang. Operasi menyelamat dijalankan dengan mengangkat mangsa menggunakan pengusung.
"Keadaan tubuhnya masih sempurna, namun tahap kecederaan yang dialami belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.