SEIRING usaha Malaysia mencapai 100 peratus keterhubungan pada penghujung 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC ) giat memperkukuhkan usaha untuk mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan dalam talian.
Kemajuan pesat dalam perkembangan 5G dan Internet of Things (IoT), keterhubungan yang dipertingkatkan turut membawa kepada ancaman siber yang semakin canggih seterusnya menjadi cabaran besar terhadap peningkatan kes buli siber, penipuan dalam talian dan eksploitasi seksual.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan trend yang membimbangkan, dengan 35,368 kes jenayah dalam talian dilaporkan pada 2024, dengan kerugian melebihi RM1.5 bilion.
Selain itu, laporan oleh End Child Prostitution and Trafficking (ECPAT), Unicef, dan Interpol pada 2022 mendedahkan bahawa seramai 100,000 kanak-kanak berisiko menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian.
Tahun lalu sahaja, PDRM menangkap 13 suspek dan merampas 40,000 kandungan berkaitan penyalahgunaan seksual kanak-kanak.
“Kerugian akibat penipuan (scam) semakin meningkat, dari ratusan juta kepada berbilion ringgit, apabila penipu (scammer) terus mengubah cara mereka, termasuk penipuan hibrid,” kata Timbalan Pengarah Urusan MCMC , Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dalam satu temubual.
Tambahnya lagi, faktor lain yang membimbangkan adalah kandungan dalam talian yang menyentuh mengenai 3R (Kaum, Agama, Institusi Diraja) yang sangat sensitif, dan tentunya ancaman siber seperti penggodaman, kebocoran data dan penyebaran berita palsu.
Zurkarnain menyebut bahawa kecanggihan penipuan moden semakin mengeksploitasi sifat mesra dan mudah percaya rakyat Malaysia, menjadikan mereka lebih terdedah kepada ancaman tersebut.
Bagi menangani cabaran ini, MCMC menggunakan pendekatan pelbagai sudut melibatkan kerajaan, industri dan orang awam, dengan tumpuan utama memperkukuhkan keselamatan dalam talian kanak-kanak.
Pengguna digital perlu berwaspada dengan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa. -Gambar hiasan
Campur tangan kawal selia
Sebagai badan pengawal selia untuk kerajaan, MCMC mengukuhkan kerangka peraturan melalui Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2024 dan keperluan pelesenan untuk penyedia media sosial melalui Lesen Kelas bagi Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (CASP).
“ONSA akan mengenakan tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap penyedia media sosial, memastikan mereka mengambil langkah proaktif terhadap kandungan berbahaya.
“Ini mewujudkan satu piawaian perkhidmatan yang selaras dengan peraturan kerajaan dan menangani risiko yang wujud dalam rangkaian mereka,” kata Zurkarnain.
Beliau berkata, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga telah diperkukuhkan, dengan peningkatan denda dan keputusan mahkamah yang lebih ketat untuk kesalahan dalam talian, sebagai pencegah terhadap kelakuan dalam talian yang berniat jahat.
Kerjasama industri
Menyedari sifat subjektif kandungan dalam talian, MCMC aktif berhubung dengan penyedia media sosial untuk menangani bahan berbahaya dalam talian dan prevalensi penipuan berkaitan media sosial.
Zurkarnain berkata, MCMC bekerjasama rapat dengan penyedia media sosial untuk memahami nuansa pos yang dianggap berbahaya, menggunakan 'Kod Etika (Amalan Terbaik) bagi Penyedia Perkhidmatan Mesej Internet dan Media Sosial' sebagai garis panduan.
Menyedari bahawa undang-undang Malaysia dan terma penggunaan platform tidak selalunya selaras, badan tersebut berusaha merapatkan jurang untuk memastikan kandungan berbahaya ditangani dengan berkesan sambil menghormati batasan undang-undang.
“Penafsiran kandungan bukanlah hitam putih, ia berbeza bagi setiap individu. Jadi, peranan kami adalah untuk memberi konteks bagi membantu penyedia media sosial memahami potensi bahaya,” jelas Zurkarnain.
Beliau menambah, MCMC juga bekerjasama dengan penyedia media sosial untuk membolehkan proses yang lebih efisien dalam mengenal pasti suspek dalam talian dengan ketelusuran yang dipertingkatkan.
Pelbagai cara dilakukan penipu hibrid bagi mendapatkan keuntungan dengan mudah. -Gambar hiasan
Kesedaran awam dan pendidikan
Pendekatan kritikal dalam strategi MCMC adalah kempen kesedaran yang disasarkan dan inklusif untuk semua kumpulan masyarakat.
“Kita perlu fokus kepada semua segmen masyarakat, termasuk pelbagai kaum, kerana mereka menghadapi cabaran yang berbeza berkaitan ancaman siber.
“Melalui pendekatan yang disasarkan ini, kami berharap dapat melihat pengurangan dalam jumlah kerugian akibat penipuan dan ancaman siber lain,” kata Zurkarnain.
MCMC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan (JaPen) bagi menyebarkan dan menyediakan latihan kesedaran dalam talian untuk warga emas, mengajar mereka bagaimana untuk melindungi diri dan tanda amaran yang perlu diperhatikan.
Badan ini juga turun ke sekolah dan ruang awam, seperti bazar Ramadan, untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian.
Zurkarnain berkongsi bahawa MCMC juga telah mengubah suai sistem semakan fakta awam di laman web Sebenarnya.my, dengan menggunakan pembantu semakan fakta berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang dikenali sebagai AIFA, untuk memberi kuasa kepada orang ramai dengan alat semakan fakta yang dipertingkatkan.
Beliau menambah bahawa orang ramai juga perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dalam talian mereka dengan mengamalkan kematangan digital ketika dalam talian.
“Sebagai pengguna, orang ramai perlu sedar akan risiko dan bagaimana untuk melindungi diri. Mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk bertindak dengan wajar bagi menjaga keselamatan dalam talian dan keamanan negara.
“Walaupun perbualan dalam talian boleh menjadi toksik dengan cepat, kita tidak perlu menambah minyak pada api," katanya.
Untuk maklumat lanjut, lawati www.mcmc.gov.my.