LIMA individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan tiga kereta di KM58.1 Lebuhraya Utara-Selatan di Kluang, Johor.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori tersebut meletup sekitar pukul 11.30 malam, Khamis.
"Lori itu hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kereta sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh dua lagi kereta.
"Salah sebuah kereta terbakar, namun semua penumpangnya berjaya dikeluarkan sebelum kenderaan itu dijilat api," katanya.
Dia berkata, pemandu dan penumpang dalam sebuah lagi kereta maut di lokasi kejadian.
"Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang berada dalam salah sebuah kereta turut maut di tempat kejadian, manakala ibu bapanya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
"Tiga adik-beradiknya yang lain, berusia antara empat hingga sembilan tahun, mengalami kecederaan serius dan kini sedang dirawat di hospital," katanya, sambil menambah pemandu lori berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan di kaki dan pinggul.
Bahrin berkata, ujian saringan mendapati pemandu treler negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah.
"Polis menahannya untuk siasatan lanjut," katanya, sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.