LESEN syarikat umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, digantung berkuat kuasa pada 28 Februari hingga 31 Ogos depan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang tempoh penggantungan, syarikat berkenaan wajib menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah atau dibayar oleh pelanggan.
Selain itu, mereka dilarang menjalankan sebarang urusan baharu, termasuk promosi atau pengiklanan pakej umrah.
Pada masa sama, syarikat itu turut diarahkan untuk memulangkan semula bayaran dan dokumen milik jemaah yang memilih untuk membatalkan tempahan serta-merta.
"MOTAC memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia Madani," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Sebelum ini, pada 14 Januari, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd didakwa gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah umrah di bawah seliaan mereka ke Tanah Suci.
Dalam perkembangan lain, MOTAC dalam kenyataan berasingan mengumumkan bahawa lesen Borneovac Travel Sdn Bhd telah dibatalkan berkuat kuasa 28 Februari lalu mengikut Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992.
“Adalah dimaklumkan selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), bahawa MOTAC telah memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat berkenaan,” menurut kenyataan MOTAC.
Syarikat berkenaan sebelum ini didakwa menganjurkan pakej memancing menggunakan bot laju sehingga memasuki perairan Filipina secara tidak sah pada 1 September 2024.
Susulan itu, 15 individu termasuk warganegara Malaysia dan China ditahan oleh pihak berkuasa negara tersebut.