PUNCA kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di Kem Sri Miri, Sarawak, pada Isnin disebabkan hentakan kuat di bahagian dada.
TDM dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, meninggal dunia akibat hentakan kuat di dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.
"Laporan awal diterima hasil bedah siasat dilaksanakan Selasa di Hospital Miri, mendapati punca kematian akibat trauma tumpul pada dada yang merujuk kepada hentakan kuat di bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.
"Siasatan awal mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai punca kematian Allahyarham," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, TDM memberitahu kes tersebut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
"TDM turut menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini," ujarnya.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pula berkata, TDM memandang serius kejadian tersebut.
"TDM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.
"TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terlibat dan didapati bersalah dalam insiden ini," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap agar orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"PTD turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta berharap mereka tabah menghadapi kehilangan ini," tambah kenyataan itu.
Jenazah Allahyarham Muhammad Muqriz diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada jam 11.55 malam Selasa.
Sementara itu, dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) ditahan di Kem Sri Miri pada Selasa, bagi membantu siasatan kes kematian Prebet Muhammad Muqriz.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, polis sudah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu selama tujuh hari sehingga 2 April ini.
"Pihak polis sedang menjalankan siasatan kes itu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh," katanya dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.