KERAJAAN pada Rabu bersetuju untuk memberikan potongan kadar tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun tol itu akan dilaksanakan bermula dari 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat) dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu).
Menurutnya, diskaun berkenaan akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
"Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023, bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
"Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan itu akan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.