suria

Wanita terima 5 jahitan di kepala, kena hempap basikal dibuang dari tingkat 12 PPR

Seorang wanita cedera selepas dihempap basikal yang dibuang dari tingkat 12, PPR Padang Hiliran.

MALANG tidak berbau, seorang wanita terpaksa menerima lima jahitan di kepala selepas dihempap sebuah basikal yang dibuang dari tingkat 12 di rumah pangsa Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di Kuala Terengganu, pada Selasa.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Azuraini Yazid, 43, yang tinggal di tingkat sembilan, sedang dalam perjalanan untuk membuang sampah.

Mangsa kemudian rebah akibat hentaman kuat basikal berkenaan, lapor Sinar Harian.

Menurut suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, insiden yang menimpa isterinya itu dimaklumkan menerusi panggilan daripada anaknya sebelum segera pulang.

"Basikal itu jatuh betul-betul di atas kepalanya. Isteri sudah terbaring dengan kepala berlumuran darah.

"Mujur orang ramai segera membantu dan menghubungi ambulans," katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Tambah Jusri, isterinya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dan kini dalam keadaan stabil.

"Alhamdulillah, keadaannya kini stabil. Kami juga sudah berjumpa dengan pemilik basikal itu, dia memaklumkan bahawa basikal anaknya dibuang oleh individu lain," ujarnya.

Jusri yang bekerja sebagai pemandu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkatak, siasatan sedang dijalankan dan pihaknya mengambil keterangan pemilik basikal yang mendakwa ia dibuang oleh individu tidak dikenali.

"Setakat ini siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah awal pagi ini.

"Polis kini sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab," katanya sambil menambah perbuatan membuang objek dari tempat tinggi adalah sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa.

 

Artikel Lain