suria

Polis bantuan samun 7 dulang emas demi nak bayar hutang... Dicekup sebelum sempat lari ke Kelantan

Hussein berkata suspek pertama kali melakukan jenayah samun.

BEBANAN hutang berjumlah RM20,000 menjadi punca seorang lelaki melakukan samun dengan melarikan tujuh dulang barangan kemas dari kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, pada Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Isnin.

"Suspek ada hutang hampir RM20,000, antara sebab dia lakukan samun ini untuk bayar hutang. Hutang dengan siapa masih dalam siasatan polis," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Menurut Hussein, siasatan lanjut mendapati suspek yang pertama kali melakukan jenayah samun adalah anggota polis bantuan sebuah syarikat utiliti dan menggunakan senjata api milik agensi pekerjaan itu.

Katanya, suspek juga mempunyai kata laluan dan akses untuk mengambil senjata api itu dan memulangkan semula senjata api berkenaan di tempat asalnya.

"Ketika kejadian suspek tidak bekerja dan dijadualkan bekerja syif 12 tengah malam selepas kejadian itu.

"Dia bergerak solo, dia bawa sendiri kereta ke tempat itu dan melarikan diri seorang diri dengan kereta sama," ujar beliau sambil menambah suspek berusia 32 tahun ditahan pada pukul 10.15 malam Sabtu di sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Menurut Hussein, sewaktu tangkapan dibuat, polis menemui serangkai kunci, alat kawalan jauh berlambang Proton, telefon bimbit, satu beg galas, 81 utas rantai emas, wang tunai RM1,800, sekeping kad Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas nama suspek dan beberapa barang kes lagi.

Beliau berkata suspek yang sudah berkahwin sejak empat tahun lalu menyewa sebuah rumah seorang diri di Bukit Beruntung, manakala keluarga berada di Kelantan.

"Dia dipercayai akan melarikan diri ke Kelantan tetapi polis berjaya menangkap lebih awal," katanya.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Mac depan.

"Polis akan memanggil penyelia dan rakan sekerja suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Sabtu, sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara disamun sehingga kerugian RM2 juta selepas tujuh dulang barangan kemas dilarikan.

Artikel Lain